Sunday, November 20, 2011

Perkara Yang Mengeratkan Persahabatan


Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.”
Riwayat Al-Tabrani
Huraian:
  1. Kita hendaklah sentiasa mempamerkan keperibadian seorang muslim dalam setiap pergaulan kerana ia merupakan aset penting bagi kejayaan diri serta organisasi yang dipimpin.
  2. Tutur kata yang baik, beradab dan dipenuhi unsur-unsur keikhlasan akan memberikan motivasi yang paling berkesan kepada setiap individu dalam masyarakat sekeliling sehingga membentuk kualiti ummah yang terbaik dan menjadi contoh kepada yang lain.
  3. Jika kita mahu dihormati maka kita hendaklah terlebih dahulu menghormati orang lain sama ada dengan mengucapkan salam, bersikap peramah dan mengutamakan keperluannya. Ini dengan sendirinya akan menerbitkan perasaan hormat orang itu terhadap kita dan seterusnya menimbulkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain.

Solat Dalam Keadaan Mengantuk

Diriwayatkan dari Anas r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Apabila seseorang mengantuk ketika sedang mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dahulu hingga ia mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan).”
(al-Bukhari)
Huraian:
Jika kita merasa sangat mengantuk dan letih eloklah sekiranya kita baring seketika. Selepas itu bangun dan ambillah wudhu’ dan tunaikan solat. Ingat! Jangan terus tertidur.
Sebenarnya seseorang itu hendaklah bersembahyang dengan kekuatan yang ada pada dirinya. Tidak secara terpaksa hingga tidak sedar tentang bacaan dalam solat mahupun bilangan rakaat yang telah dikerjakan. Solat seperti ini boleh membawa kepada batal.
Malah adalah lebih baik sekiranya setiap kali merasa mengantuk kita memperbaharui wudhu’ semula kerana dengan cara membasuh muka dan mengenakan air kepada anggota tubuh itu akan dapat menyegarkan semula badan kita dan kita menjadi bersemangat untuk mengerjakan solat.  


Hakikat Solat


SABDA Rasulullah s.a.w yang maksudnya: Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu solat yang diwajibkan lalu dia pun berwuduk dengan wuduk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan rukuknya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar.”
Riwayat Muslim
Huraian:
  1. Agak menghairankan apabila didapati ada orang yang mengerjakan sembahyang, tetapi masih tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat. Mengapa? Jawapannya adalah kemungkinan besar kerana sembahyang yang dikerjakan itu sebenarnya tidak ikhlas kepada Allah melainkan untuk menunjuk-nunjuk, riyak dan takbur. Sembahyang yang sedemikian ini sama sekali tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap jiwa dan pembentukan peribadi serta tidak dapat menjamin serta mendinding diri daripada melakukan perkara-perkara negatif dan maksiat.
  2. Sesungguhnya sembahyang dalam erti kata yang sebenar ialah sembahyang yang dikerjakan dengan hati yang khusyuk dan menghayati setiap apa yang dibaca. Hasilnya ia berupaya mendidik seseorang kepada pembangunan sahsiah muslim yang sejati. Hal ini bermula dengan berwuduk yang menganjurkan kebersihan tubuh badan serta pakaian, sehinggalah kepada geraklaku dan tatatertib khusus yang perlu diiltizamkan oleh orang yang sembahyang.
  3. Sembahyang berjamaah contohnya, mendidik seseorang itu mematuhi seorang ketua yang tidak harus bagi seorang makmum mendahului imam dalam apa jua geraklakunya. Manakala dari hal menjaga saf-saf ketika bersembahyang pula memberikan satu pengajaran tentang kepentingan perpaduan dalam suatu masyarakat yang dipimpin. 
  4. Selain kebersihan zahir, sembahyang juga mampu melupuskan kotoran dosa yang pernah dilakukan kerana sembahyang merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk setiap hamba mencari pengampunan dari tuhan-Nya. Usaha ini diseiringkan dengan amalan zikir dan doa-doa yang dibaca sewaktu sembahyang di mana ia akan menguatkan lagi hubungan dengan Allah S.W.T.

Tiga Kali Lebih Baik

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: “Apabila Nabi SAW memberitahu sebuah pernyataan, baginda mengulanginya sampai tiga kali hingga orang ramai dapat memahami dan mengerti perkataannya dengan baik dan setiap kali nabi meminta izin untuk masuk (ke dalam rumah, ia mengetuk pintu) tiga kali dan mengucapkan salam.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Simbolik tiga kali dalam sesuatu perbuatan bergantung pada situasi dan tempat. Dalam melakukan sesuatu perkara ibadah seperti mengambil wudhu’, kita dikehendaki melakukan pada satu-satu rukun itu sebanyak tiga kali kerana ia adalah lebih baik bahkan termasuk dalam perkara sunat.
Malah bagi kebanyakan perkara, perbuatan mengulang-ulang itu dianggap akan menyempurnakan kekurangan yang berlaku sebelumnya daripada langsung tidak melakukannya atau setidak-tidaknya menduakan malah lebih bagus menigakan dan seterusnya. Jika kurang dari tiga kali ditakuti menjadi kurang bermanfaat, khususnya dalam perbuatan mengingat atau menghafal ilmu yang menuntut kita mengulang-ulangnya beberapa kali sesuai dengan sifat manusia yang mudah lupa.
Tetapi ada juga berlaku sekiranya sesuatu itu dilakukan lebih dari tiga kali akan mengundang mudarat dan keburukan atau jatuh pada peringkat batal contohnya jika bergerak dengan sengaja lebih dari tiga kali sewaktu dalam solat, solat dianggap batal. Sesungguhnya dalam hal ini Islam menekankan tentang kesederhanaan dan menegah perbuatan melampaui batas. Justeru bilangan 3 kali adalah jalan paling selamat!

Beberapa Larangan Rasulullah S.A.W

Dari al-Mughirah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda: “Allah telah melarang keras (mengharamkan) kamu menderhakai ibu, melarang membuat kikir dan mengubur anak perempuan. Tuhan benci kamu jika kamu terlalu banyak berbicara begitu begini, terlalu banyak bertanya serta membuang-buang harta tidak pada tempatnya.”
(Bukhari)
Huraian:
Dosa-dosa besar adalah perbuatan yang membolehkan seseorang itu tergolong di kalangan orang-orang yang menempah keburukan di akhirat nanti walhal di dunia pun balasan dosa akibat perbuatan tersebut tidak mustahil akan menimpa mereka.
Menderhakai ibu, bakhil dengan kelebihan nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T, membunuh anak sendiri, banyak bercakap perkara yang sia-sia, banyak bersoal jawab sebelum melakukan sesuatu perkara dan suka melakukan pembaziran merupakan perbuatan yang dilarang dan dibenci di dalam Islam.
Jika direnung akan keadaan umat sekarang, musibah-musibah yang datang menimpa tidak pernah berkesudahan. Sama ada ia boleh dikategorikan sebagai cubaan Allah, bala atau malapetaka semuanya bergantung pada kedudukan sesebuah umat itu kerana Allah tidak pernah menzalimi manusia tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.
Jika kita lalai daripada mengingati dan mensyukuri nikmat Allah, segala sesuatu yang buruk akan sanggup kita lakukan kerana ia timbul hasil dorongan hawa nafsu. Hilang sifat kasih sayang, kasihan belas apatah lagi sifat kebergantungan terhadap Yang Maha Kuasa. Timbullah sikap angkuh dan bongkak hingga sanggup menzalimi orang lain. Tidak sedar akan balasan Allah yang bakal menimpa. Bahkan kita melakukan dosa dengan perasaan megah dan bangga.
Itulah antara sebab-sebab yang mengundang kecelakaan. Oleh itu sebagai hamba yang beriman janganlah kita melakukan perkara yang ditegah kerana setiap tegahan itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri agar hidup sentiasa berada di dalam keredhaan Ilahi.

Islam Melarang Umatnya Memohon Untuk Mati

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: “Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah.”
Riwayat Hadith Al-Bukhari dan Muslim
Huraian:
  1. Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.
  2. Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.
  3. Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.